Monday, March 14, 2011

Gaji wajib Di Zakat

RAMAI orang tahu zakat adalah wajib, namun ramai juga yang kurang mengetahui bahawa zakat yang dimaksudkan tidak terhad kepada zakat fitrah saja sebaliknya ia turut meliputi pendapatan yang diperoleh setiap bulan.
Sama ada pendapatan individu atau syarikat perniagaan, jumlah disumbangkan dapat membantu golongan memerlukan, malah dengan berzakat ia menambah keberkatan hidup kita. 
Ikuti temubual wartawan Bisnes Metro, Syarifah Dayana Syed Bakri dengan Pengurus Operasi, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Abdul Hakim Amir Osman, (gambar) mengenai kepentingan melunaskan zakat pendapatan. 
Jika dibandingkan dengan 10 tahun lalu, orang ramai semakin sedar mengenai kepentingan membayar zakat dan jumlahnya semakin bertambah sepanjang tahun.

Namun, jumlah pembayar zakat belum mencapai tahap 100 peratus di mana ada segelintir individu yang layak membayar zakat, tetapi gagal berbuat demikian atau mungkin tidak tahu bahawa pendapatan yang mereka peroleh wajib dikenakan zakat.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku kerana banyak saluran pembayaran sudah disediakan bagi memudahkan pembayar melaksanakan tanggungjawab mereka termasuk melalui potongan gaji, pembayaran secara dalam talian atau melalui kaunter PPZ.

Melalui perangkaan yang kami peroleh, jumlah pembayar zakat untuk tahun lalu adalah seramai 93,225 orang namun kebiasaannya hanya 90 peratus saja tampil melaksanakan tanggungjawab mereka.

Bagaimana untuk mengetahui sama ada pendapatan dimiliki itu wajib dikenakan zakat kerana mungkin ada individu berpendapatan kecil dan banyak tanggungan berpendapat mereka tidak perlu membayar zakat pendapatan.

Perkara utama yang harus dilakukan adalah membuat pengiraan untuk menentukan sama ada pendapatan dimiliki itu layak atau tidak perlu dikenakan zakat. Pengiraan yang dikenakan agak mudah, malah kami menyediakan pelbagai saluran untuk membantu orang ramai membuat pengiraan sendiri.

Mereka juga boleh mengunjungi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) untuk membuat pengiraan dengan bantuan kakitangan kami atau melayari laman web PPZ yang mana kami turut menyediakan panduan pengiraan.

Sekiranya seseorang individu mempunyai banyak tanggungan, pengiraan turut membabitkan jumlah tanggungan dan ia akan ditolak daripada jumlah pendapatan tahunan. Tanggungan yang dimaksudkan termasuk ibu bapa, anak-anak serta isteri. Malah, beberapa perbelanjaan juga akan ditolak daripada pendapatan tahunan individu termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selepas membuat pengiraan, mungkin ada pendapatan individu yang tidak diwajibkan zakat, namun adalah digalakkan untuk membuat potongan gaji walaupun serendah RM10 kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu kerajaan membasmi kemiskinan dan pada masa sama menyucikan pendapatan kita.

No comments:

Post a Comment