Friday, March 18, 2011

Adrian berjaya dalam AVON




ADRIAN (tengah) bergambar dengan beberapa wakil Avon yang menjadi sumber inspirasi untuk berjaya.



BEBERAPA tahun dahulu, penglibatan jejaka bernama Adrian Ong, 25, dalam Avon menjadi bahan ketawa rakan-rakannya dek kerana jenama itu sendiri sinonim dengan wanita.
Ada rakan yang mengejeknya dengan panggilan lelaki lembut gara-gara tindakan Adrian yang berjinak-jinak mengedarkan katalog Avon kepada rakan sekerjanya.
"Segalanya bermula apabila saya membeli deodoran bebola di sebuah cawangan Avon di Lahad Datu, Sabah. Wakil Avon di situ mengajak saya untuk menjadi ahli.
"Bagi mendapatkan diskaun pada masa akan datang, jadi saya pun bersetuju untuk menjadi ahli," katanya yang sebelum ini menjadi penyelia di salah sebuah pasar raya di Lahad Datu.
Tambahnya, setiap bulan dia akan ke butik Avon untuk mendapatkan produk-produk yang ditempah oleh rakan sekerjanya.
"Apabila Avon melancarkan kempen Sales Leadership, pemilik butik menyuruh saya mencari lima orang untuk didaftarkan di bawah nama saya dan kemudian dia memberikan saya cek bernilai RM5.75.
"Ketawa besar apabila menerima cek tersebut kerana ia jauh lebih rendah daripada pendapatan yang saya peroleh sebagai penyelia di pasar raya iaitu RM1,500 sebulan," katanya.
Katanya lagi, pemilik tersebut memberitahu bahawa jumlah tersebut akan berganda dan sejak itu Adrian mula menjalankan aktiviti menambahkan ahli.
"Saya pernah mengambil cuti semata-mata untuk merekrut ahli baru. Satu hari saya pernah dapat 16 orang dan ia melayakkan saya memperoleh RM175 hanya dengan mencari ahli baru sahaja.
"Bayangkan, hanya beberapa minit kita boleh buat wang dan tambah pendapatan. Sejak itu, saya berhenti kerja dan mula serius dengan Avon tanpa mempedulikan ejekan hatta, pandangan sinis orang terhadap saya," ujarnya yang turut menggunakan produk Avon.
Walaupun kini, pergaulannya lebih bertumpu kepada golongan wanita, Adrian banyak mempelajari hal-hal berkaitan dengan kecantikan supaya dia tidak kekok berinteraksi dengan pelanggan yang kebanyakannya wanita.
Pada usia 25 tahun, Adrian yang baru setahun lima bulan menceburi Multi-Level Marketing Avon mampu meraih pendapatan RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.
"Ia jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan gaji saya sebagai penyelia sebelum ini. Kerjanya pula lebih senang dan tidak stres.
"Jika dulu susah mendapatkan cuti rehat untuk melancong, kini dengan Avon, saya berpeluang melancong ke Surabaya, Bali, Langkawi dan Los Angeles bersama wakil Avon yang lain," kata anak kedua daripada enam beradik itu.
Hadiah bercuti daripada Avon tersebut bagai suntikan motivasi untuk Adrian memantapkan lagi kariernya bersama Avon walaupun dikelilingi dengan ramai wanita.
Menurut Adrian, kejayaannya hari ini adalah inspirasi daripada kejayaan wanita-wanita Avon di sekelilingnya.
"Kini saya mahu berkongsi kisah kejayaan saya dengan generasi muda yang lain dan mahu mereka menyertai saya.
"Daripada mereka terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang melanda remaja sekarang ini, lebih baik ajar mereka cara berniaga dengan Avon. Sedikit sebanyak ia boleh membantu mereka menjana pendapatan," katanya yang memasang impian memiliki rumah sendiri dalam masa terdekat ini.
Bagi tahun 2011, Adrian berazam untuk mendapatkan pendapatan lebih RM10,000 sebulan selain membantu ahli di bawahnya berjaya.
"Bagi remaja lelaki yang berminat menyertai Avon tetapi malu kerana menganggap Avon adalah untuk wanita anda silap kerana sebagai lelaki kita punya kelebihan sendiri.
"Jika ramai wanita di Avon boleh berjaya, kenapa kita tidak?" katanya penuh semangat.
www.kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment